Pages

Oct 9, 2010

ISU ALAM SEKITAR

Wakil rakyat perlu prihatin isu alam sekitar

PUTRAJAYA 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu wakil-wakil rakyat turut bersikap prihatin terhadap isu-isu alam sekitar kerana ia mempunyai kaitan dengan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Perdana Menteri berkata, isu itu amat diminati oleh para pengundi terutama golongan muda kerana mereka mahu kerajaan serta wakil rakyat menunjukkan keprihatinan serta pendirian yang tegas terhadap perkara itu.

"Seperti mana yang kita sedari di sesetengah negara, gerakan memperjuangkan isu alam sekitar merupakan gerakan politik yang cukup berpengaruh.

"Jadi di Malaysia, elok juga wakil rakyat menunjukkan komitmen terhadap isu alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010 di sini hari ini.

Forum dua hari itu merupakan anjuran bersama Landskap Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Perbadanan Putrajaya.

Semalam, Ahli Lembaga Pentadbir Landskap Malaysia, Datuk Yahya A. Jalil dalam laporan Mingguan Malaysia dipetik sebagai berkata, wakil rakyat bukan sekadar mewakili penduduk setempat tetapi juga memikul tanggungjawab terhadap tumbuhan dan haiwan di kawasan mereka.

Beliau mencadangkan agar semua parti politik meletakkan tanggungjawab terhadap persekitaran di tangan wakil rakyat bagi mengawal kemusnahan alam sekitar.

Pada sidang akhbar yang sama, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan meneliti kedudukan bank-bank komersial yang agak sukar membiayai projek-projek berasaskan teknologi hijau.

Menurutnya, banyak bank komersial belum bersedia untuk terlibat dalam projek seumpama itu kerana ia mempunyai risiko yang lebih tinggi.

"Kita kena melakukan penilaian dan pengiraan risiko, sesetengahnya gagal secara semula jadi.

"Bagaimanapun, dalam budaya ekonomi inovatif, kegagalan sebenarnya suatu perkara yang diterima, ia tidak bermakna penamat bagi segalanya sebaliknya satu pengajaran untuk masa akan datang," kata beliau.

Justeru, Perdana Menteri mahu rakyat negara ini mengubah pemikiran mereka agar dapat menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada sistem untuk mencapai sasaran jangka panjang. -UTUSAM MALAYSIA 27/4/2010